SELEPAS lapan bulan melahirkan anak kembarnya Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, baru semalam Ziana bersedia memperkenalkan anaknya itu kepada pihak media.
"Selepas bersalin saya telah dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana mempunyai masalah tekanan darah tinggi yang teruk.
“Sebenarnya saya mengalami masalah tekanan darah tinggi itu seminggu sebelum melahirkan anak sehingga bacaan darah tingginya mencecah 200 di sebelah atas.
"Selepas bersalin, doktor juga menasihatkan supaya saya berehat sekurang-kurangnya enam bulan," ujar Ziana, 42.
Semasa berkongsi cerita mengenai pengalaman 'nyawa di hujung tanduk' ketika bersalin anak kembar, Ziana tidak dapat menahan sebak hingga menitiskan air mata. Penyanyi bersuara lantang ini menyifatkan kejadian yang berlaku ke atas dirinya adalah begitu tragis, sambil berkali-kali bersyukur kerana dia masih dipanjangkan umur dan dapat membesarkan anak-anaknya itu.
"Saya bersyukur sangat... Allah telah panjangkan umur saya. Sepanjang proses bersalin, saya masih sedar. Tapi selepas sahaja kedua-dua bayi saya keluar, saya sudah tidak tahu apa yang terjadi. "Saya telah dimasukkan ke unit rawatan rapi selama lima hari. Sepanjang berada di wad itu, saya telah dimasukkan 10 paket darah.
"Menurut doktor, saya telah mengalami tumpah darah yang begitu banyak hingga berada di dalam keadaan kritikal dan mempunyai peluang tipis untuk hidup," katanya ketika majlis memperkenalkan Duta SlimWorld 2010.
Ketika ditanya mengenai perasaanya semasa bertarung nyawa selepas selamat bersalin anak kembarnya itu, Ziana turut berkata ia adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkanya kerana pengalaman melahirkan dua orang anaknya sebelum ini adalah lebih senang.
"Masa itu, saya hanya fikir bagaimana keadaan anak dan saya menangis dalam hati mengenangkan nasib anak kembar saya. "Mungkin semangat yang ada dalam diri saya itu membolehkan saya bangun dan menikmati kehidupan sehingga ke hari ini," katanya sambil mengesat air mata.
Selain itu, Ziana turut memberitahu semasa berdepan dengan kejadian hitam dalam hidupnya itu, dia seperti dapat merasai saat kematiannya begitu hampir. Saya rasa seperti sudah hampir dengan ajal, tapi Allah itu maha kuasa memberikan peluang kedua kepada saya untuk kembali hidup bersama keluarga, kawan-kawan dan sanak saudara," ujarnya yang pernah dua hari tidak dibenarkan minum semasa menerima rawatan.
Mungkin pengalaman dasyat itu membuat Ziana bertekad tidak mahu melahirkan anak lagi selepas ini. Jelas Ziana, dia sudahpun memenuhi permintaan suaminya yang hanya mahukan empat orang anak.
"Suami hanya mahu empat orang anak dan saya sudah cukupkan jumlah itu. Lagipun pengalaman lahir anak kembar itu membuatkan saya jadi serik dan takut untuk berhadapan dengan kejadian seperti itu lagi," ujarnya yang masih trauma dengan kejadian yang berlaku selepas melahirkan anaknya itu.
Menurut Ziana, dia bersyukur kerana mempunyai seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.
"Suami saya mengambil cuti selama sebulan untuk menjaga saya semasa dalam pantang. Perkara yang sama juga dia lakukan semasa saya melahirkan anak pertama dan kedua. Giliran suami menjaga di sebelah malam, manakala giliran saya pula di sebelah siang," ujar Ziana.
Windi's note:
Kenapa dengan tangan Ziana tu? Macam kena minyak panas je..kan???
4 comments:
kalo saya tak silap ari tu mcm terbaca tangan dia kena air panas..
thanks Jojo..patutlah byk bekas parut. mesti teruk tu. kesian...
a'aa..betul...tgn dia melecur kna air panas..tp dia ttp cool kn..xada rasa malu2 pun...
ya. klu artis lain mgkn pakai glove ke to cover parut tu..
Post a Comment