CHECK IT OUT!

Thursday, March 18, 2010

OBAMA BELAJAR TERIMA EJEKAN


GAMBAR menunjukkan Obama (dalam bulatan) bergambar bersama rakan-rakan
sekolahnya di Menteng, Jakarta.




JAKARTA - Memori mengenai Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang pernah tinggal selama empat tahun di Jakarta akan semakin diingati apabila beliau kembali ke Indonesia pada minggu depan untuk melawat Indonesia .

Kini mereka bercerita dengan bangga mengenai kanak-kanak yang meninggalkan kesan di Jakarta dan mencipta sejarah lebih besar di peringkat dunia. Lawatan itu menyebabkan zaman membesar Obama yang meliputi pelbagai budaya diingati kembali. Obama merupakan Presiden AS pertama berkulit hitam dan berkhidmat secara rasmi pada 20 Januari tahun lalu. 

"Beliau terdedah dengan budaya orang kulit hitam, orang kulit putih Amerika dan budaya Indonesia," kata Kay Ikranagara yang bekerja dengan ibu Obama di Jakarta dan cukup mengenali keluarga presiden itu.


Mempunyai bapa berketurunan Kenya, Obama berpindah ke Indonesia ketika berusia tujuh tahun selepas ibunya, Stanley Ann Dunham berkahwin dengan suami keduanya, Lolo Soetoro. Bapa Obama dibesarkan sebagai seorang Islam tetapi mengabaikan pegangannya sebelum bertemu dengan Dunham. Sementara bapa angkatnya pula ialah seorang Muslim sekular yang sangat jarang pergi ke masjid. Adik tirinya, Maya dilahirkan di Indonesia. 

Namun selepas empat tahun, perkahwinan ibunya mulai hambar. Obama kemudian dihantar semula ke Hawaii dan tinggal bersama datuk nenek kandungnya. Dunham fasih bertutur bahasa Indonesia. Kerjayanya sebagai seorang ahli antropologi dan pekerja pembangunan membuatkannya sering kembali Indonesia dalam tempoh yang lama sehingga kematiannya pada tahun 1995. 

Obama dan ibunya mula tinggal di sebuah rumah di Menteng Dalam pada lewat 1960-an. Kawasan pinggir bandar yang sebelum ini dikenali dengan pokok buah-buahannya kini dipenuhi dengan rumah-rumah dan jalan-jalan yang sempit. Masih ramai keluarga yang tinggal di sana. Mereka berkongsi memori kanak-kanak yang dikenali sebagai Barry. 

Obama pergi ke sekolah melalui jalan-jalan berlumpur, memegang tangan ibunya dan mencuba ikan masin dari kedai berhampiran yang disangkanya keju selain bermain dengan buaya peliharaan yang diletakkan di belakang taman. "Beliau pergi ke rumah semua orang, bermain layang-layang dengan kanak-kanak tempatan dan terperangkap di dalam paya. "Obama ialah budak Menteng Dalam, apa lagi yang boleh saya katakan?" kata Coenraad Satja Koesoemah yang membenarkan Dunham menggunakan rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris secara percuma kepada penduduk berhampiran.

Sekolah pertama Obama di Jakarta ialah sekolah Katholik yang terletak tidak jauh dari rumahnya dan hanya dua tahun dibina oleh seorang paderi dari Belanda. Dalam tempoh lima bulan pertama, Obama berdepan kesukaran untuk bertutur bahasa Indonesia sebelum fasih berbahasa itu. Obama juga menjadi murid kegemaran para guru dan rakan-rakan seangkatannya. Namun beliau terpaksa bertahan dengan ejekan kerana rupanya itu.

Itulah pengalaman awal Obama yang dikatakan sebagai detik penting dalam membentuk pandangannya terhadap kehidupan. "Salah satu sebab kenapa beliau begitu tenang dan tidak sukakan perselisihan ialah kerana Obama belajar untuk berdepan dengan budaya mengejek ini. Ia (ejekan) seakan-satu satu permainan di sini. Caranya ialah tunjukkan anda tidak kisah (diejek)," kata Ikranagara.

Apabila Obama kembali ke Indonesia minggu depan, beliau akan mendapati sebahagian masa lampaunya kekal tidak berubah. Masih ada papan tanda 'Awas ada anjing' pada pagar, kerusi panjang yang digunakannya untuk menyiapkan kerja sekolah, selain tingkap-tingkap kaca di rumah lamanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails