Siti perkenal SimplySiti
SITI Nurhaliza mengenakan gincu SimplySiti
KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza untuk memiliki produk kecantikannya sendiri tercapai apabila beliau memperkenalkan rangkaian kosmetik dan produk penjagaan kulit pertamanya, SimplySiti.
Siti berkata, produk yang dihasilkan menggunakan teknologi Nano itu sudah pun berada di pasaran sejak dua minggu lalu. “Selepas hampir dua tahun produk ini menjalani proses pembangunan dan penyelidikan di Korea, barulah kami bersedia untuk memasarkannya. Alhamdulillah saya bersyukur kerana impian saya untuk memiliki produk kecantikan sendiri termakbul dengan kelahiran SimplySiti.
“Selain harganya yang berpatutan, saya yakin produk ini akan mendapat tempat di hati khalayak kerana penghasilannya menepati piawaian dan apa yang lebih penting ia mendapat sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),”
Sebagai permulaan, SimplySiti Sdn Bhd hanya mengeluarkan produk penjagaan muka dan kosmetik yang merangkumi semua jenis alat solek antaranya pencuci muka, penyegar, pelembab, bedak asas, gincu, pemerah pipi dan pengilat bibir.
“Memang kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk selepas ini seperti makanan kesihatan dan minyak wangi,”
No comments:
Post a Comment