CHECK IT OUT!

Friday, January 15, 2010

ECAD


(Taip di laptop. Baru berkesempatan upload)

4 JANUARY 2010 jam 3.01 petang. Saya masih tercatuk di sekolah, menunggu Ecad keluar dari kelas. 5.50 pm merupakan detik yang ditunggu-tunggu. Walaupun ramai yang simpati dengan saya yang menunggu sampai petang namun saya tetap menghadiahi mereka dengan senyuman. Bagi saya ini tidak seberapa. Ianya jauh lebih mudah berbanding pengalaman menjalani praktikum di SMK TG pada tahun lalu.

Pada masa itu, saya bertugas pagi di sekolah manakala tengahari saya bergegas ke SMK TG. Manakala setiap hari Isnin dan Rabu saya akan bergegas juga ke SMK TG pada jam 9.40 pagi dan selepas tamat kelas (Subjek Ekonomi) di SMK TG saya akan bergegas semula ke sekolah. Selepas habis waktu sekolah saya akan bergegas lagi ke SMK TG. Kebetulan pula ayah saya sakit dan ditahan di wad. Maka langkah saya lebih panjang. Selepas tamat waktu persekolahan di SMK TG, saya akan bergegas pula ke hospital. Sehingga jam 8.30 mlm barulah saya sampai ke rumah. Sehinggalah ayah saya dibenarkan keluar wad maka awallah saya sampai ke rumah. Lebih kurang jam 6.00 pm. Maka, pengalaman pada hari ini tidak ada apa-apa bagi saya…

Berbalik kepada kisah Ecad (anak lelaki sulung saya), pada tahun ini dia menginjak ke tahun 1. (Ecad tetiba muncul minta duit untuk ke kantin) Sayu hati saya melihat dia berbaju sekolah dan melangkah masuk ke kelas. Anak yang saya kandung 9 bulan 10 hari itu kini sudah memasuki alam persekolahan. Begitu rupanya perasaan ibubapa menghantar anak ke sekolah pada hari pertama. Selama ini saya mendengar dari mulut orang namun pada hari ini saya merasai sendiri pengalaman itu.

Oleh kerana Ecad memiliki susuk tubuh yang tinggi dan besar maka menjadi masalah kepada kami untuk mencari seluar yang padan. Dengan berbekalkan keterujaan memikirkan anak sulung kami akan melangkah ke tahun 1, suami saya membawa Ecad ke kedai jahit kebiasaannya iaitu Armani Vs bla bla.. yang terletak di centre point KK. Dia menempah 2 pasang seluar sekolah untuk Ecad yg nilainya tidak berbeza langsung dengan seluar orang dewasa. Teruja punya pasal, mahal pun mahallah.

Berbalik kisah di sekolah. Ramai ibubapa yang menghantar anak-anak ke tahun 1. Seperti biasa, tangisan berkumandang di beberapa sudut dan suara ibubapa memujuk bertebaran di atmosfera sekolah. Ada yang menjanjikan gula-gula, ada yang menjanjikan hadiah, ada yang turut sama tersedu dan tidak kurang juga yang berkasar. Itu pemandangan biasa di hari pertama persekolahan. Itu lah rempah ratusnya. Nasib baik Ecad mendapat pendidikan pra sekolahnya di sini juga. Maka sekolah ini sudah jadi rumah keduanya. Tidak ada apa yang menakutkan dia malah begitu teruja melihat rakan-rakan Pra sekolahnya yang lain.

Semasa mereka berbaris di dewan untuk menerima kad nama masing-masing, saya terharu melihat dia berdiri di dalam barisan. Segak sungguh dia. Patutlah ada pepatah mengatakan, bagi seorang ibu atau ayah, anaknya merupakan kanak-kanak terbaik dan tercantik di dunia. (Blackoutlah pulak! Panas nye..) Begitu juga saya. Biarpun Ecad agak agresif pada luarannya namun jauh di sudut hati, saya tahu dia berbakat dan memerlukan kami untuk memandu arahnya kearah yang betul.

Berbalik kepada kisah mereka berbaris sebentar tadi, seorang bapa berbual dengan makcik pekerja am (pembersihan) sekolah kami. Dia memberitahu pekerja am itu bahawa dia ingin menunggu anaknya sampai pulang pada hari ini kerana risau anaknya akan menangis. (Cikgu Jumat pula datang bertanyakan buku teks matematik tahun 2..oh idea..jangan terbang ah..) Dengan ketawa tertahan-tahan makcik itu menjawab “Saya rasa anak kamu ok saja tadi. Tapi rasanya kamu yang menangis mengingatkan dia..” Bapa pelajar tahun 1 itu tersipu-sipu lalu berlalu. Mahu saja saya terlepas ketawa kerana gelihati. Saya juga menyedari betapa sayu dan sugulnya wajah si bapa melihat anaknya berbaris masuk ke kelas. Mungkin pengalaman pertama. Seperti saya juga.

Sekarang jam 3.56 pm. (Eh..Elektrik dah on balik..nyamannya ditiup kipas). Ecad dan kawan-kawannya masih di dalam kelas. Bersipongang suara guru-guru mengajar murid di kelas masing-masing. Semoga anak-anak ini akan menjadi insan terbilang bila mereka dewasa kelak. Insyallah…

2 comments:

Kak Imun said...

Doa kita sebagai ibu bapa akan sentiasa mengiringi langkah mereka hinggalah ke akhir hayat kita.

windi said...

iya...

Related Posts with Thumbnails