CHECK IT OUT!

Monday, March 2, 2009

Kesukaran Odoi Odu terbayar

Kesukaran Odoi Odu terbayar



TIGA wajah yang bakal menyemarakkan industri perfileman tempatan iaitu dari kiri; Shuhaimi, Farizie dan Christopher Low.

Anugerah Filem Pendek Astro Kirana beri pengiktirafan dan penghargaan kepada karyawan muda

KARYA yang hanya lengkap beberapa jam sebelum tarikh penyertaan ditutup selepas melalui pelbagai rintangan dan halangan hingga membuatkan Farizie Morinding hampir berputus asa, mencipta sejarah tersendiri kepada pemuda itu apabila diumumkan pemenang utama Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009, Jumaat lalu.

Anak kelahiran Ranau, Sabah ini berkata, pembikinan Odoi Odu (Oh Grandma) disempurnakan tanpa memiliki segala kemudahan diperlukan namun tetap berjaya mencuri hati juri profesional.

Farizie berkata, dia hanya memiliki sebuah handycam yang dibelinya ketika menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menyempurnakan pembikinan filem pendek yang menjadi impian serta harapannya selama ini.

“Saya membelinya pada 2003 dengan harga RM1,500. Ia tidak pernah rosak dan kamera ini banyak membantu untuk saya mendapatkan pelbagai visual menarik,” katanya.

Kata Farizie, pelbagai rintangan terpaksa ditempuhinya ketika melakukan proses penyuntingan. Disebabkan tidak memiliki komputer, dia mengharap ihsan beberapa teman untuk membantunya menyiapkan pembikinan filem pendek itu.

“Kawan yang pada mulanya membantu bagaimanapun lari, membuatkan saya terpaksa mengharap bantuan teman lain. Malangnya, komputer miliknya tidak dapat dihidupkan hingga saya hampir patah hati.

“Disebabkan berdepan terlalu banyak rintangan, saya membawa diri di satu tempat dalam gelap malam untuk mencari kekuatan. Dalam ketakutan, saya melihat diri sendiri dan mencari di mana kelemahan hingga saya diuji pelbagai halangan untuk menyiapkan Odoi Odu.

“Namun, saya sedar setiap manusia ada kekuatan tersendiri. Kita sebenarnya memiliki kekuatan dan saya kembali menemui kekuatan untuk menyempurnakan filem pendek ini,” imbas Farizie akan laluan sukar sebelum segala yang diimpikan menjadi kenyataan.

Warna suram perjuangannya berlalu apabila dia dipertemukan dengan seorang teman lama yang sudah hampir sedekad tidak ditemui.

Suntingan dapat dilakukan menggunakan komputer riba yang hanya dilengkapi perisian asas untuk pembikinan filem.

“Semuanya dilakukan dalam serba kekurangan. Ketika itu saya nekad untuk menyempurnakannya juga dan alhamdulillah, ia sempat saya siapkan sebelum tarikh penyertaan ditutup.

“Selesai membuat salinan saya terpaksa berjalan kaki sejauh 10 kilometer untuk ke perhentian bas sebelum ke pejabat pos untuk menghantar penyertaan. Alhamdulillah, semua rintangan itu dibayar dengan penghargaan yang cukup berharga ini,” katanya terharu.

Sebagai pemenang utama, Farizie menerima geran sehingga RM100,000 untuk pengarahan filem serta wang tunai RM5,000 dan trofi.

Odoi Odu juga membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.

Filem pendek menggunakan bahasa Dusun itu mengisahkan kisah sedih seorang nenek yang dapat melihat roh suaminya yang meninggal dunia. Biarpun kerap ditohmah malah ada yang beranggapan dia gila, nenek ini sabar menempuh semua dugaan itu. Nenek itu hidup bertemankan seekor kucing yang ditemuinya dalam kelaparan.

“Saya kini dalam perancangan untuk membuat kesinambungan filem pendek itu. Saya bercadang untuk mengekalkan pelakon yang sama kerana memberikan persembahan terbaik dalam Odoi Odu,” katanya.

windi's note: Inilah salah satu daripada cita-cita saya suatu waktu dahulu iaitu menjadi PENGARAH FILEM.. ke ke keh...

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah kepada Encik Farizie Morinding kerana berjaya mendapat 3 anugerah tersebut. Keikhlasan dan semangat juang serta percaya kepada diri sendiri adalah kunci kepada kejayaan beliau. Dugaan demi dugaan berjaya diatasi dan tidak mudah berputus asa adalah contoh yang patut kita teladani. Tahniah anak Sabah, khasnya Ranau.

Related Posts with Thumbnails