Dr. Mahathir gembira cadangan penswastaan ditangguh
KUALA LUMPUR 19 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad gembira dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan cadangan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) kepada Sime Darby Berhad (Sime Darby).
Beliau berkata, IJN berjalan dengan baik apabila banyak pesakit mendapatkan rawatan di situ malah tidak banyak kritikan terhadap perkhidmatan institusi perubatan yang unik itu.
‘‘IJN diperbadankan bagi membolehkan ia tidak terikat dengan peraturan-peraturan kerajaan, oleh itu doktor dan kakitangan institusi itu boleh mendapat gaji yang lebih baik.
‘‘Tindakan untuk menswastakan IJN bukan satu tindakan yang betul,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan RM150,000 Kementerian Luar kepada Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyerahkan sumbangan itu kepada Dr. Mahathir selaku pengerusi yayasan tersebut. Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan isteri Rais, Datin Seri Maznah Rais.
Pada majlis itu juga, Maznah menyerahkan sumbangan peribadi berjumlah RM50,000 kepada yayasan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan rancangan Sime Darby untuk mengambil alih 51 peratus ekuiti IJN ditangguhkan hingga kajian mendalam dilakukan oleh kementerian-kementerian yang berkaitan.
IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., milik penuh Kementerian Kewangan.
Semalam, Sime Darby berkata, kerajaan secara dasarnya memberi kelulusan kepada syarikat berkaitan kerajaan itu untuk mengambil alih kepentingan dalam IJN Holdings.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian itu akan melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan serta Unit Perancang Ekonomi.
Sementara itu, Dr. Mahathir dalam blognya memberitahu, beliau tidak menentang penswastaan jabatan kerajaan tetapi hanya menentang penswastaan IJN.
Baginya, penswastaan IJN merupakan sesuatu perkara yang tidak betul untuk dilakukan.
‘‘Biarkan IJN seperti sekarang, ia merupakan kebanggaan rakyat Malaysia serta melakukan tanggungjawab dengan baik.
‘‘Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak popular sekarang, mengapa melakukan sesuatu yang akan memberi peluang kepada pembangkang untuk menghentam kerajaan,’’ katanya.
Dr. Mahathir memberitahu, beliau amat rapat secara peribadi dengan institusi tersebut apabila telah melalui dua pembedahan jantung di IJN.
‘‘Doktor dan jururawat dilatih dengan baik serta cekap malah sepanjang tempoh 50 hari saya dirawat di IJN kerana pembedahan jantung kali kedua, tidak pernah pun mendengar doktor dan jururawat merungut mengenai gaji ataupun cara mereka dilayan.
‘‘Mereka kelihatan amat gembira dan bukannya tentera upahan yang hanya memikirkan soal wang sebaliknya mencintai kerja mereka, gembira melihat pesakit mereka pulih terutama pesakit-pesakit yang melakukan pemindahan jantung,’’ katanya.
Dr. Mahathir menegaskan, perkhidmatan yang diberikan oleh IJN amat memuaskan dan tidak ada seorang pun pesakit sama ada kaya atau miskin merungut kepada beliau mengenai pengalaman buruk di institut tersebut.
Windi's Note: Walaupun I tak setuju 100% dengan cadangan Mantan PM tentang PPSMI, tapi berkenaan artikel di atas I setuju and sokong 200%.. Tun...You are my hero!!!
No comments:
Post a Comment