CHECK IT OUT!

Wednesday, December 31, 2008

Bohong Punya Pasal - kisah seorang teman

 (Entry 2008)

Beberapa bulan yang lalu saya mengikuti kursus anjuran British council. Semasa waktu rehat, saya berbual-bual dengan seorang rakan bernama 'Cikgu K' ( wanita, bukan nama sebenar). Dia menceritakan kepada saya pengalamannya beberapa tahun yang lampau. Saya rasa kisahnya sesuai juga untuk saya kongsikan bersama anda semua tapi identiti  Cikgu K saya rahsiakan lah ya..Privasimu kujaga wahai Cikgu K.


Alkisahnya begini. Ketika itu Cikgu K sedang belajar di Universiti Malaysia Sabah  kampus Sandakan. Setiap Sabtu dia akan menaiki flight ke sandakan  untuk menghadiri kuliah dan terbang semula ke Kota Kinabalu pada hari Ahad. Begitulah rutinnya selama beberapa tahun demi segulung ijazah.


Nak dijadikan cerita, pada suatu hari, dia menaiki flight balik ke KK. Tapi kali ni terdapat seorang wanita pertengahan usia yang sedang 'landing' baiiikk punya di kerusi Cikgu K. Emosi Cikgu K sedikit terganggu, Maklumlah, dahlah letih satu badan, ada pulak orang yang menganggu privasinya. Cikgu K lantas memberitahu wanita itu, 'kak, ini kerusi saya'. Wanita itu terkejut dan berpaling padanya. 'Yakah?' katanya  itu dan beralih ke sebelah. Cikgu K pun landing dikerusinya. Keadaan hening seketika. Cikgu K menjeling wanita itu. Segak bergaya orangnya. Beg pun jenama mahal.

Tiba2 wanita itu menegurnya.
Wanita: Adik balik mana?
Cikgu K : saya balik KK
Wanita : Adik buat apa di Sandakan?
Cikgu K : Cari kerja.Lama sudah saya di sandakan. Keluarga suruh pulang sekejap.


Alamak!! Terbohonglah pulak! Sebenarnya Cikgu K sengaja tidak mahu memberitahu perkara sebenar kerana penampilannya ketika itu sangat simple dan selekeh. Takut nanti dianggap berbohong jika mengaku sedang belajar.  Lagipun Cikgu K tidak bersedia mendedahkan identitinya ketika itu. Dia ingatkan perbualan mereka akan tamat disitu. Rupanya wanita itu agak peramah orangnya.


"Mana kampung adik?" tanya wanita itu. "Kota Belud. Di Kampung Dudar" jawab cikgu K. "Oh. Adik dr Kg Dudar. Sebelah sini perkampungan Iranun, sebelah sini lagi perkampungan dusun kan" kata wanita itu seolah menunjukkan pelan kawasan. Terkejut juga cikgu K lantas bertanya  "macamana kakak tahu?" "Saya pernah round kawasan tu dulu dengan helikopter" jawab wanita itu selamba raya..


Tergamam Cikgu K seketika. Siapakah gerangan wanita ini? Tetiba datang sorang pramugari  "Datuk nak minum apa?" . Cikgu K seperti tak yakin dengan pendengarannya. Betulkah pramugari tadi menyebut 'datuk?'.  "Bagi saya fresh orange. Bagi satu lagi untuk dia ni" kata wanita itu sambil menunjuk kearah Cikgu K. Dek kerana tak tertanggung dgn persoalan demi persoalan yang menerjah benaknya, Cikgu K bertanya  "Datin pergi mana?" Datinlah pulak! Orang nak sebut 'datuk'lah. Apa punya lidah.  "Saya ni mau pergi Sutera harbour. Mau rasmi majlis tapi helikopter ada masalah teknikal. Tepaksa naik fokker ni, mau kejar masa" "Oh.." jawab cikgu K sedangkan dalam fikirannya masih memikirkan siapa wanita ini?


"Kalau kau mau cari kerja, macam ni lah, kau ikut saya, nanti saya tolong. Untuk permulaan, kau tolong saya angkat beg saya ni" kata wanita itu ketika mereka sudah hampir keluar dari flight.  Cikgu K tidak mampu bersuara kerana masih panik. Maklumlah, tetiba disuruh angkat beg. Tapi salah Cikgu K juga sebab berbohong. Mahu tidak mahu terpaksa Cikgu K mengangkat beg dan membontoti wanita itu. Boleh tahan juga berat beg itu sampai terbongkok2 cikgu K memikul.


Permaidani merah terhampar dilaluan masuk kebilik Vip. Wanita itu melangkah menuruti permaidani itu. Cikgu K menahannya dan berkata "Datuk, laluan masuk di sini" Kata Cikgu K kearah laluan yang sering diikutinya seperti biasa. Wanita itu tersenyum "tak apa, kita ikut saja di sini" katanya menunjukkan permaidani merah itu.


Tiba-tiba telinganya terdengar tepukan gemuruh. Flash kamera memancar-mancar hingga menyilaukan matanya. Terdengar pengumuman tentang ketibaan seseorang. Suasana hingar bingar. Cikgu K masih tidak faham apa yang berlaku. Tapi Cikgu K nekad minta izin untuk pulang.


Wanita itu berkata "Tidak apalah kalau begitu. Ini kad saya kalau ada apa-apa kol saja ok. Nah ini upah sebab tolong angkat beg" Cikgu K menjawab, "Tak apalah datuk saya ikhlas. Saya pulang dulu ah" balasnya."Macam ni lah, kau ikut saja pemandu saya nanti dia hantar kau pegi stesen bas" kata wanita itu lagi sambil bersalam salaman dengan para penyambutnya. "Bah. Terima Kasih Datuk" Kata cikgu K girang kerana dapat melepaskan diri akhirnya.


Cikgu K mngikuti pemandu wanita itu ke kereta. Arakian maka tersebutlah kisah Cikgu K yang terkejut beruk kerana kereta yang bakal dinaiki itu ialah sebijik Mercedez Benz dengan lambang negeri Sabah.  Cikgu K menaiki kereta itu dan dihantar ke bus stop Kota Belud. Dalam perjalanan Cikgu K nekad bertanya pada pemandu "Bang, siapa perempuan tadi tu?"


"Ahhh Kau tidak tau siapa tadi tu?" Pemandu tadi terbelalak matanya tidak percaya. "Itulah Datuk Norjan Khan Bahadar"  "Ohhh.... Datuk Norjan Khan rupanya!" Kata cikgu K pura2 terkejut sebab dia sebenarnya tidak kenal pun siapa Datuk Norjan Khan! (Sampai ketahap ini saya tidak dapat menahan diri dari berkata "Takkan datuk Norjan pun kau tidak kenal?")


Cikgu K yang selamba raya itu tersengih2...Dia sangat fokus dengan pengajian sampai tidak menghiraukan  senarai tokoh2 politik Sabah. Berbalik pada cerita tadi,  kereta Mercedes Benz tadi perlahan-lahan memasuki kawasan stesen bas. Beberapa orang polis yang kebetulan berada di kawasan itu tiba-tiba berdiri tegak dan memberi tabik hormat. Mereka tak nampak pun siapa di dalam sebab cermin kereta gelap tapi mereka tahu kereta itu siapa yang punya dan mengagak orangnya ada di dalam.

Orang ramai juga minggir ketepi memberi laluan . Merc Benz itu  landing baiikkk punya ditepi sebuah bas penumpang. Tercangak2 para pemandu bas melihat siapa gerangan orang besar yang bakal muncul dari kereta itu dan mengapa gerangan kereta itu sudi mampir di bus stop Kota Belud. Perlahan2 pintu kereta terkuak, sedikit demi sedikit.. pemandu bas mulai tidak keruan dan tidak kesabaran untuk menoktahkan sisa2 ke'saspen'an mereka yang membuak2.



Sekonyong-konyong maka tersebutlah sejenis senyuman yang diberi nama senyuman kerang busuk. Adapun senyuman itu jugalah yang terbit dari bibir Cikgu K ketika dia keluar dari kereta itu. Para pemandu bas menjerit "Ya rabbi! kau pula K! Apa kau buat sana?!!" Kata mereka dan Cikgu K pun menerangkan segala-galanya..

Windi's Note: Kusedekahkan Al fatihah buat Allayarham Datuk Norjan Khan. Semoga rohnya dicucuri rahmat.Amiiinnn.

1 comment:

Leenoh said...

Menarik ceritanya. Berbohong tidak mungkin sekali, berbohong akan bersambung-sambung seperti rantai jadinya, berlebih-lebih lagi, kalau selepas berbohong itu diikuti dengan beberapa soalan, menjawab soalan itu akan disempurnakan dengan beberapa pembohongan lagi.

Islam menyuruh kita bercakap benar. Kata orang kalau senang berbohong, senang juga dia mencuri.

Wassalam

Related Posts with Thumbnails